Semasa buat Personal Loan (PL) tak terfikir kesan, tambah-tambah bila dapat duit tunai beribu-ribu hanya dengan menurunkan tanda tangan di helaian-helaian kertas. Bila ansuran perlu dijelaskan dari sebulan ke sebulan, dari setahun ke setahun baru terasa kesannya. Semakin banyak pinjaman semakin tinggi komitmen ansuran yang perlu dijelaskan. Juga masanya pasti akan lebih panjang diambil bagi menyelesaikannya.
|
Gambar Hiasan |
Ketika saya dan isteri berkira-kira untuk membina rumah dahulu, beberapa orang teman sekerja isteri memberi nasihat supaya kami membuat PL sebagai persediaan awal, sedangkan pinjaman perumahan kerajaan pun kami telah pohon. Lalu isteri sayapun memohon PL dari sebuah institusi kewangan dan mendapat kelulusan segera hanya dengan beberapa hari sahaja.
|
Gambar Hiasan |
Setelah rumah kami siap, PL yang dibuat sebanyak RM30 Ribu tersebut tidak terusik pun. Rasa menyesal kerana mengikut nasihat orang. Jika dibiarkan pasti duit dari PL tersebut akan terguna juga nanti, akan habis begitu sahaja. Akhirnya, bagi menyelesaikan perkara ini, saya menghubungi ejen unit trust dari Public Mutual untuk kami "parking" duit tersebut di sana. Untuk pengetahuan semua saya dan isteri telah membuat pelaburan di sana sejak tahun 2005 lagi dan hanya berhenti menambah pelaburan setelah memulakan pembinaan rumah. Kini PL tersebut telah selesai dibayar dan pelaburan di Public Mutual juga telah mendatangkan hasil. Hingga kini saya dan isteri tidak mengeluarkan walau satu sen pun dari situ, biarlah duit bekerja untuk kami.
|
Gambar Hiasan |
Hari ini, begitu mudah bagi sesiapa sahaja membuat PL. Bermodalkan slip gaji, yang baru bekerja pun mampu membuat PL. Sehinggakan untuk majlis perkahwinan pun makin ramai bakal-bakal pengantin yang membuat personal loan. Ada yang mengambil PL sehingga RM50 ribu. Jika bayaran ansuran selama 10 tahun bermakna anak sudah memasuki sekolah rendah, PL semasa perkahwinan masih belum selesai. Sepatutnya rancanglah secara terbaik bagaimana untuk tidak membuat PL untuk tujuan perkahwinan dengan membuat tabungan dari awal. Buatlah majlis perkahwinan yang sederhana, tidak perlu untuk bermegah-megah. Yang penting lagi adalah kehidupan selepas berumah tangga. Keperluan rumah untuk berteduh, persediaan untuk anak-anak yang bakal mewarnai kehidupan dan sebagainya.
|
Gambar Hiasan |
Nasihat saya, sebelum merancang untuk membuat PL untuk apa-apa tujuan sekalipun, tarik nafas panjang-panjang dahulu. Berfikir dahulu. Buat kira-kira dahulu. Keputusan yang dibuat hari ini akan mempengaruhi cara hidup dan kuasa kewangan untuk satu tempoh yang agak panjang. Ianya bukan soal mampu semata-mata.
|
Gambar Hiasan |
No comments:
Post a Comment