Sunday, November 20, 2016

MULAKAN MENABUNG WALAU HANYA DUIT SYILING

Memulakan sesuatu perkara atau pekerjaan yang baru amat sukar dan susah. Ianya akan mengambil sedikit masa untuk membiasakannya. Bila sesuatu perkara atau pekerjaan yang baru itu sentiasa diulang-ulang lama kelamaan ianya akan bertukar menjadi satu tabiat. Sebagaimana pepatah melayu "Alah bisa, tegal biasa". Seramai mana yang mengeluh dan mengangkat bendera putih sedangkan belumpun melakukannya. Tewas sebelum berjuang.


Untuk menjadikan menabung sebagai habit, mulakanlah dengan yang ringan-ringan dan mudah dahulu. Jadikannya sebagai amalan seharian sebelum membuat tabungan dalam bentuk yang lebih besar. Jika terus mulakan dengan yang jumlah yang besar secara drastik, kebarangkalian untuk gagal lebih besar berbanding untuk berjaya. Saya cadangkan kepada yang liat untuk menabung, mulakanlah menabung dengan duit syiling untuk permulaannya.


Kenapa saya cadangkan duit syiling?

Duit syiling hari ini sudah tidak berharga berbanding zaman saya bersekolah dahulu. Ketika saya berada di darjah satu tahun 1980 saya diberikan 20 sen oleh ibu saya sebagai bekal ke sekolah. Dengan berbekalkan duit syiling 20 sen ini saya sudah mambu membeli sepinggan nasi dan segelas air sirap. Kini syiling 20 sen ini sudah tidak mempunyai nilai, boleh lah sekadar membeli 2 biji gula-gula. Tetapi jika dikumpul dalam jumlah yang banyak, ianya akan bernilai, boleh digunakan untuk membeli keperluan.


Sedikit perkongsian dan jika sesuai boleh dibuat oleh sesiapa sahaja. Untuk makluman, sehingga hari ini amalan menabung duit syiling ini saya terus amalkan sehingga sekarang. Selain dari memupuk sikap anak-anak saya dengan menabung dari kecil, saya sendiri turut sama menabung. Saya dan anak-anak saya mempunyai tabung masing-masing.


Cara dan teknik menabung duit syiling yang saya lakukan amat mudah, boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Saya sediakan 1 tabung duit yang saya letakkan di atas meja. Setiap kali saya balik dari pejabat atau membeli keperluan-keperluan di kedai dan sebagainya, saya akan menyeluk saku dan semua duit syiling terus saya masukkan ke dalam tabung.


Tak kira lah berapa ada 10 sen, 50 sen dan sebagainya, semuanya akan terus masuk tabung. Itulah apa yang saya lakukan setiap kali balik dari pejabat atau selepas melakukan apa-apa pembelian sepanjang hari tersebut. Saya tidak pernah menyimpan duit syiling dalam wallet. Inilah rutin harian yang saya lakukan setiap kali balik ke rumah.

Biasanya dalam tempoh setengah tahun tabung syiling saya akan penuh dan kebiasaannya nilai syiling yang ada dalam tabung tersebut melebihi angka RM100. Ini bertepatan dengan pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jika dalam tempoh setahun atau sekurang-kurangnya setengah tahun tabungan duit syiling ini berjaya dibuat dengan istiqamah, maka tabungan yang lebih besar boleh dibuat dan Insyaallah akan berjaya juga akhirnya. Semuanya bergantung pada kehendak masing-masing.

Walaupun kini saya telah membuat tabungan dalam bentuk emas sekurang-kurangnya 1 gram 1 bulan untuk diri sendiri, isteri dan anak-anak saya, amalan menabung syiling masih saya teruskan sehingga hari ini. Saya paksa diri untuk menukar wang kepada emas setiap bulan, akhirnya pada hari ini, setiap bulan saya wajib menukar duit kepada emas sebagai tabungan dan simpanan saya dan keluarga. Saya merasa amat puas bila berjaya lakukannya setiap bulan.

No comments:

Post a Comment