Tuesday, June 20, 2017

ZAKAT EMAS

Tahun ini merupakan tahun ke dua saya menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat emas. Kewajipan ini hadir bila emas yang saya simpan telah cukup haul (genap 1 tahun Hijrah menyimpan) dan cukup nisab (cukup berat timbangan emas yang disimpan). Nisab zakat emas adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram). Berat yang membolehkan seseorang mengeluarkan zakat emas adalah emas yang disimpan selama setahun Hijrah dan tidak berkurang beratnya selama 1 tahun Hijrah. Kadar zakat emas yang dikenakan adalah sebanyak 2.5% dari nilai berat emas tersebut.


Dalil Wajib Zakat:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya :
“Dan (ingatlah)orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah At-Taubah : Ayat 34)


Dalam melaksanakan tanggungjawab berzakat ini, oleh kerana saya menetap di negeri Kelantan, maka saya merujuk kepada laman web Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di alamat www.e-maik.my . Pada awal dulu saya agak pening juga mencari bahagian zakat emas terutama untuk mengetahui berkaitan dengan nilai emas yang ditetapkan oleh MAIK


Dari sini saya memperolehi maklumat berkenaan dengan kadar nilaian emas bagi setiap gram. Mengikut laman web ini nilai semasa emas yang dikemaskini pada 20 Jun 2017 pada jam 9.23 pagi adalah RM181.52 untuk setiap gram sebagaimana di bawah

Untuk memudahkan lagi, saya akan buat sedikit pengiraan ringkas

Jumlah emas = 85 gram
Jumlah wajib dikeluarkan = 2.5%
Nilai harga emas 1 gram = RM181.52

85 gram darab RM181.52 = RM15,429.20

2.5 bahagi 100 = 0.025

RM15,429.20 darab 0.025 = RM385.73

Zakat emas yang wajib dikeluarkan untuk 85 gram emas adalah bersamaan dengan nilai RM385.73. Anda boleh membuat pengiraan sendiri mengikut jumlah emas dalam simpanan masing-masing. Selamat berzakat kepada semua. Berikanlah hak orang lain dari sebahagian rezeki yang dikurniakanNYA kepada kita. Semoga rezeki yang Allah kurniakan kepada kita bertambah-tambah lagi.

Aamieemm.

No comments:

Post a Comment