Sunday, June 12, 2016

KEPERLUAN SEKOLAH ANAK

Akhir tahun lepas saya dan isteri membawa anak-anak ke gedung membeli-belah TenTen di Wakaf Che Yeh untuk membeli pakaian dan peralatan wajib persekolahan. Untuk dua anak yang bersekolah di sekolah rendah, barang-barang keperluan yang kami beli kepada mereka adalah sepasang pakaian sekolah untuk setiap seorang sahaja. Bagi dua orang anak yang masih di pra sekolah kami hanya membeli beg untuk setiap seorang. Sambil membisikkan kepada dua anak yang bersekolah di sekolah rendah, walid tak beli beg utk kamu berdua tahun ni, guna saja beg yg tahun lepas, kondisi masih baik, nanti rosak walid beli yang baru. Alhamdulillah, kedua-duanya memahami dan boleh menerima.


Saya bukan tidak mampu membeli beg untuk kedua-duanya bagi sesi persekolah baru, lebih dari mampu, tetapi ingin mendidik anak agar jangan boros dan berbelanja mengikut trend. Saya tidak mahu terikut-ikut dengan sebilangan ibu bapa yang berhabisan untuk membeli serba baru bagi persiapan anak. Sebab itu jugalah saya hanya membeli sepasang pakaian sekolah kerana pakaian sekolah mereka yang dibeli dan diguna pada tahun lepas masih di kira elok dan boleh digilir-gilirkan. Itulah prinsip saya dan isteri.

Saya masih teringat semasa di alam sekolah dahulu, saya dari keluarga yang tidak berada, ayah dan emak saya jarang-jarang membeli pakaian dan peralatan sekolah setiap kali sesi persekolah akan bermula.  Saya biasanya hanya menggunakan pakaian-pakaian & peralatan yang diwarisi dari abang dan kakak-kakak, kadang-kadang mendapat pakaian 2nd hand dari jiran-jiran.

Pernah saya memakai kasut yang bersaiz besar dari saiz kaki saya dengan memasukkan kertas surat khabar supaya tidak tercabut. Sehingga ada kawan-kawan sekolah mengejek saya dengan mengatakan saya memakai perahu. Suatu ketika seorang guru memanggil saya dan menegur baju sekolah yang saya pakai dengan katanya, kamu ni pakai baju putih atau kuning, merujuk kepada baju yang saya pakai sudah pudar warna putihnya.Bagi saya pengalaman hidup adalah satu pelajaran yang amat besar untuk dipraktikan dalam kehidupan seharian.

Keesokan harinya, saya meluangkan sedikit masa membasuh dua beg anak-anak yang telah digunakan pada sesi persekolahan lepas utk digunakan sesi persekolahan ini. Pada penglihatan saya seperti yg baru dibeli.Saya rasa tindakan tidak membeli beg baru adalah keputusan yg tepat, beg-beg tersebut masih elok untuk digunakan. Jika saya membeli yg baru bermakna saya membazirkan duit sahaja.


Kita sebagai pengguna perlu membezakan antara keperluan dan kehendak walaupun dari segi kewangan kita mampu. Berjimat lah walaupun kita mampu. Inilah antara ilmu yang saya ajarkan kepada anak-anak walau secara tidak formal.

Saturday, June 11, 2016

20 SEN 1980 VS 20 SEN HARI INI

Saya dilahirkan tahun 1973, 5 April lepas merupakan hari ulangtahun kelahiran. Zaman tersebut tiada komputer, tiada gadget. Televisyen pun hitam putih, jarang-jarang rumah memilikinya. Jika rumah tersebut memiliki televisyen, tuan rumah tersebut dikatagorikan golongan berharta. Aktiviti kami kanak-kanak lebih kepada permainan secara kawan sekampung.
Bola kaki tiga antara yg popular

Tahun 1980 saya mula memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Machang. Sekolah ini lokasinya terletak di bandar Machang, salah satu jajahan di Kelantan. Oleh kerana semasa berumur 6 tahun
saya telah dihantar ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), juga di bandar Machang, bila memasuki darjah satu saya sudah boleh menjaga diri. Tambah-tambah lagi beberapa orang kakak saya juga bersekolah di sana. Hari pertama persekolahan saya dibekalkan dengan 20 sen oleh ayah. Ketika membeli di kantin dengan duit 20 sen mampu membeli sepinggan nasi & segelas air.


Kini tiba giliran anak saya bersekolah, 20 sen sudah tiada nilai. Untuk membeli sepinggan nasi dan segelas air memerlukan wang sebanyak RM2.50. Anak-anak saya sudah tidak kenal duit syiling lagi. Hari-hari persekolan dibekalkan dengan duit ringgit. Jika adalebihan baki perbelanjaan yang saya letak atas meja, tidak pun dipandang oleh anak-anak. Seingat masa kecil dahulu,  saya pernah mencari duit syiling di bawah rumah. Jika terjumpa walau dalam nilai 5 sen pun hati benar-benar melonjak gembira, boleh ditukar dengan gula-gula empat biji.


Kenapa duit yang sama tetapi mengalami susut nilai yg begitu tinggi hanya dalam tempoh 40 tahun, sedangkan 1 dinar emas 1400 tahun dahulu dengan 1 dinar emas hari ini masih mampu membeli seekor kambing. 1 dinar hari ni sebagai contoh keluaran Public Gold bersamaan dengan RM767.00. Keadaan ini disebabkan wang fiat yang kita gunakan setiap hari mengalami susut nilai antara sebabnya adalah inflasi, sedangkan emas kalis inflasi. Sebab itulah saya memilih untuk menyimpan emas sebagai saving & pelaburan jangka panjang berbanding menyimpan dalam bentuk wang.


BILA HARGA EMAS TURUN RAMAI AKAN BELI

Tahun ini menyaksikan harga emas dunia naik, dalam istilah emas dipanggil meroket. Kenaikan harga emas dunia ini juga memberi kesan kepada harga emas dalam negara kita. Harga emas Public Gold sebagai contoh, pada tahun ini harga adalah di antara rm170 hingga 185 setiap gram. Harga hari ini dan beberapa hari lepas kekal pada paras rm180 untuk setiap gram. Semasa saya membeli emas Public Gold pada tahun lepas, harganya antara rm163 hingga rm168 untuk setiap gram. Jika harga emas turun di bawah rm163 untuk satu gram, bagi saya ianya murah kerana asas pembelian sebelum ini merupakan tanda aras saya.
Anda boleh layari www.kitco.com untuk memantau harga emas dunia

Jadi, bagaimana orang yang tak pernah membeli emas boleh tahu harga emas mahal atau murah sedangkan mereka tidak pernahpun membeli walau dalam jumlah 1 gram? Semua orang kata mahal. Bila sebenarnya harga emas murah? Perkataan "murah" ini adalah sangat-sanga subjektif, bukan objektif. Bagi yang sudah memulakan membeli emas sahaja yang tahu bila harga mahal dan bila harga dikira sudah murah.


Katakanlah harga emas hari ini adalah seperti harga emas pada 10 tahun lepas, yang kata harga emas mahal tetap tidak akan beli juga emas. Kerana bagi mereka, harga emas dulu, kini dan selama-lamanya adalah mahal. Hanya mereka yang konsisten membeli sahaja yang akan terus membeli, menambah jumlah dari gram kepada kilogram.

Jadi, jika anda menyimpan cita-cita membeli emas bagi tujuan simpanan dan pelaburan jangka panjang, mulakanlah hari ini. Tidak kiralah harga "mahal atau murah", anda perlu memulakan membeli emas. Jika tidak diterjemahkan cita-cita tersebut dalam bentuk tindakan, simpanlah cita-cita tu sampai bila-bila. Belilah walau hanya seberat 1 gram sebagai permulaan, jadikan ianya konsisten untuk setiap bulan, bila harga rendah dari hari ini andalah orang yang mengambil peluang ini membeli dengan kuantiti yang lebih sedikit.

Bagi yang berkata akan mula membeli bila harga rendah, saya percaya 1 gram pun tidak akan terbeli kerana "harga rendah" merekapun tidak akan tahu bila harga emas akan murah. Hanya orang yang konsisten membeli emas sahaja tahu bila harga mahal dan bila harga murah.

Friday, June 10, 2016

PENGALAMAN ADALAH PELAJARAN TANPA TUTOR DAN BILIK TUTORIAL

Setelah "terkena" semasa membida barang kemas lelong di Ar Rahnu PKB cawangan Wakaf Bharu, saya dan kawan yang senasib mencuba nasib pula di lelongan barang kemas di Ar Rahnu Tanah Merah. Di sinilah percubaan pertama saya dahulu dan berjaya membida barang kemas sejumlah lebih 60 gram. Pengalaman di Ar Rahnu PKB Wakaf Bharu sebagai pengajaran. 


Ar Rahnu PKB cawangan Tanah Merah

Kali ini keyakinan kami lebih lebih tinggi, tiada lagi mempercayai sesiapa yang sama-sama bersaing. Seperti diduga berlaku juga perkara sama seperti di Wakaf Bharu. Seorang yang mewakili beberapa orang pembida datang menemui kami. Modus operandinya juga adalah sama, cuma orang sahaja yang berlainan. Bila dia menawarkan penyelesaian agar semua pembida hari itu memperolehi hasil dengan harga yang tidak terlampau tinggi, dengan ertikata lain harga berpakat. Kami telah mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju, tetapi dalam borang bidaan kami meninggikan sedikit harga bidaan, dengan harapan tidak terkena buat kali ke dua.

Sekali lagi hampa, balik dengan tangan kosong juga. Seorang staff Ar Rahnu tersebut yang kenal dengan saya semasa saya membida kali pertama dahulu telah menghubungi saya memaklumkan bidaan saya pada barang-barang yang saya dan kawan kehendaki kurang hanya beberapa ringgit dari pembida tertinggi. Maknanya walau saya sudah menghidu cara mereka ini, tetapi saya masih terkena. Mungkin mereka juga tidak yakin dengan saya dan kawan. 

Saya agak was-was dengan kumpulan pembida ini kerana bidaan saya pada kali pertama lelongan dahulu mereka ini tiada. Hasil maklumat yang diperolehi mereka ini dikenali dengan "geng penarik emas". Bila mereka turun dalam mana-mana lelongan,peluang untuk orang baru seperti saya agak tipis. Mereka datang dengan modal yang besar dan tak manpu orang baru seperti saya untuk mengatasi bidaan mereka. Namun ada pelajaran berguna yang saya perolehi di sini. Saya tidak akan kecewa malah tidak sabar-sabar untuk bersaing pada masa akan datang. Kalau takut pada ombak, jangan berumah di tepi laut.


Hampir pukul 4 petang saya sampai di rumah dari Tanah Merah. Seusai solat Asar bertolak bersama anak sulong ke Machang untuk bertemu seorang bakal pelanggan. Inilah kali pertama saya bertemu orang bukan dari kenalan atau saudara mara untuk berkongsi kelebihan menyimpan emas. Pertemuan ini bertempat di kedai makan beliau di Machang. Setelah menerangkan kelebihan menyimpan emas serta menjawab persoalan yang ditimbulkan, saya menunjukkan beberapa keping emas berupa dinar dan goldbar. Di akhir pertemuan beliau menyatakan minat tetapi memberikan tempoh untuk mula menyimpan emas. Saya faham bila seorang pelanggan tidak membeli pada masa tersebut, saya hanya perlu follow up, dan saya yakin hanya dengan follow up dia akan membeli suatu hari nanti. Ini juga bermakna saya perlu mengasah lebih banyak ilmu, serta akan mengambil masa lagi. Mungkin perkongsian tersebut sudah baik, penyudahnya sahaja yang masih tumpul. Perlu lebih pengalaman lagi dalam bertemu pelanggan.


Masjid Ayesha, Kok Lanas

Hampir maghrib bertolak balik dan kami dua beranak menunaikan solat maghrib di Masjid Ayesha Kok Lanas. Kemudian meneruskan perjalanan sambil berbual2 dgn anak sulong. Kami berhenti makan di Tendong. Alhamdulillah, dapat sedikit sebanyak lebih memahami dan dapat merapatkan diri dengan si anak yg akan mencecah umur 10 tahun secara berdua seperti sahabat.


Bersama Along menikmati makan malam berdua

BELI EMAS DUIT BERKURANG?

Ramai menganggap dengan membeli emas duit mereka akan berkurang, lalu menolak untuk membeli emas. Jika dibelipun sebagai barang kemas sepeti rantai leher, rantai tangan, rantai kaki, cincin dan sebagainya. Anggapan ini kurang tepat kerana membeli emas tidak sama dengan membeli perabut rumah, membeli aksesori kereta, gadget, pakaian dan sebagainya.

Membeli barang-barang yang saya sebutkan sebahagian contoh di atas secara automatik akan menjadi barang terpakai. Bila ingin dijual kembali harga pasti akan jatuh dari harga asal, malah ada yang sudah tidak laku dijual lagi. Tambahan lagi barang-barang ini mempunyai tarikh lupus, yang akan berakhir ditempat pembuangan sampah.

Berlainan dengan emas, bila membeli emas, sebenarnya anda hanya menukar duit dengan emas kerana hakikatnya emas itu nilainya adalah sama dengan duit tersebut, malah jika disimpan dalam tempoh waktu yang lama boleh menjadi aset pelaburan yang amat2 menguntungkan. Harga emas pada tahun 1990 secara puratanya rm20/gram dan jika dibandingkan tahun 2014 harga 1gram puratanya rm131/gram. Hari ini harganya semakin melonjak kepada rm180/gram untuk produk Public Gold.

Anda tidak rugi apa2, malah akan mendapat keuntungan. Emas sifatnya yang kalis inflasi membolehkan 1 dinar hari ini masih mampu membeli seekor kambing seperti 1400 tahun dahulu. Walaupun emas mudah dicairkan di ar rahnu @ dijual kembali, tetapi biasanya pemilik emas tidak akan mencairkan eset emas ini jika tidak berada dalam kecemasan, Ini sekaligus mengelak berlaku kebocoran kewangan setiap bulan.
Dengan menukar duit kepada emas sebenarnya boleh menambah nilai wang anda, bukannya menyebabkan wang anda semakin berkurang. Mulakan menyimpan emas hari ini, anda tidak perlu ada beribu2 ringgit untuk memulakannya. Kini emas padu 24k@999.9 boleh dibeli hanya seberat 1 gram sahaja. Jika di Public Gold harga 1 gram pada hari ini adalah RM180 sahaja. Simpanlah minima 1 gram 1 bulan, anda pasti tidak rugi apa-apa.

Peniaga Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Lihat sahaja dia memakai rantai tangan yang agak besar, ianya bukan sekadar perhiasan, tetapi rantai tangan itu adalah sebagai aset dan jaminan perniagaan, akan digadai jika bagi tujuan bagi modal perniagaan atau jika berlaku apa-apa kecemasan. Namun kini menyimpan barang kemas bagi tujuan aset dan pelaburan jangka panjang agak tidak menguntungkan dan memberi pulangan yang tinggi kerana barang kemas dibuat menggunakan kualiti emas 22k @ 916, tetapi harganya  mahal melebihi harga emas 24k @ 999 keluaran Public Gold kerana kos upah yang kadang-kadang boleh mencecah 20% - 40% dari harga emas, bergantung kepada design, ditambah lagi beban GST yang perlu dibayar. Bila digadai harga dikira dari harga asas emas dan bila dijual balik paling kurang susut nilai 15% atau lebih lagi dari harga asas emas tersebut.

Thursday, June 9, 2016

KERETA PERTAMA SAYA

Setiap orang mengimpikan memiliki kereta sendiri. Hari ini kereta bukan lagi barang mewah tetapi merupakan satu keperluan. Hari ini setiap rumah kebanyakkannya memiliki sebuah kereta, malah ada yang lebih dari sebuah. Sebelum memiliki kereta, untuk urusan kerja luar terpaksa tebalkan muka meminjam kereta Proton Wira kakak. Nasib baik dia sporting dan tidak banyak soal. Untuk ke tempat kerja kebiasaannya saya menaiki bas dari Machang ke Kota Bharu setiap hari. Keazaman memiliki kereta sendiri sangat kuat kerana masih tinggal bersama ibu dan bapa, di mana kadang-kadang mereka ingin pergi ke mana-mana destinasi atau ada urusan kekeluargaan memerlukan pengangkutan.

Dalam misi memiliki kenderaan sendiri, saya menabung sedikit demi sedikit, maklumlah pekerjaan saya pada masa itu gajinya masih di bawah paras kemiskinan. Dalam berkira-kira memiliki kenderaan itu, saya memutuskan untuk hanya membeli kereta terpakai sahaja, boleh dibayar secara tunai tanpa komitmen bulanan.Akhirnya hasil kerja luar pejabat saya berjaya mengumpul duit sebanyak RM10 ribu. Misi mencari kenderaan dimulakan. Saya ada meminta sedikit khidmat nasihat beberapa orang terdekat. Abang ipar saya mencadangkan agar membeli kereta di bawah tunai yang saya ada, maklumlah kebiasaannya kereta terpakai memerlukan sedikit wang tunai untuk persediaan pembaikian.


Inilah kereta pertama saya
Akhirnya dengan pertolongan beliau saya berjaya membeli sebuah kereta Toyota L.E 1.3cc berharga RM7,000.00 secara tunai. Dengan sedikit pembaikian ia menjadi kenderaan ulang alik dari rumah ke pejabat, juga utk membawa ibu & ayah menziarah ke rumah sanak saudara. Walaupun tidak memiliki kereta baru seperti kebanyakan kawan-kawan, saya amat-amat bersyukur kerana berjaya memiliki kereta sendiri. Tempat terjauh kereta ini dipandu adalah ke Tanjong Malim, membawa ibu dan ayah ke rumah abang sulong.

Kereta ini mengabdikan diri pada saya dari bujang ke alam kahwin, malah selepas beranak pinak. Banyak kenangan pahit & manis, pernah mati tiba2 semasa memandu bukan kerana enjin rosak tetapi kehabisan minyak kerana meter minyak "gila2" sedikit. Hari itu seorang sahabat meminjamnya utk ke masuk ke bandar, semasa memandu balik ke umah tiba-tiba mati tiba-tiba di atas jalan. Rupa-rupanya kehabisan petrol. Kawan yang pinjam kereta tak maklumkan dia memandu ke banyak lokasi merentasi jajahan,tidak pula diisikan sedikit petrol.

Yang manisnya dengan kereta ini menjadi pengankutan ibu dan ayah saya ke mana-mana destinasi yang mereka kehendaki, terutamanya pergi ke rumah abang di Tanjong Malim, bertenaga seperti kereta baru. Ibu mertua pernah memuji kereta ini dengan katanya walau buruk sikit, tapi ada aircond dan sejuk.

Kini, telah 4 tahun bertukar tuan, bukan kerana khidmatnya sudah tidak diperlukan, tetapi jarang-jarang dipandu. Orang yang membelinya bukanlah orang lain, tetapi makanik yang sentiasa membaikinya bila meragam. Harap engkau setia dgn tuan sekarang sebagaimana setianya kamu selama berada bersamaku...

JANGAN PERCAYA KEPADA PESAING

Kejayaan saya membida lelongan di ar rahnu Tanah Merah membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus membida. Terasa seronok pula bila berjaya membida. Kemanisan bila berjaya membida dulu dijadikan sandaran untuk terus membida. Awal tahun ini, saya mencuba nasib pula di Ar rahnu Wakaf Bharu. Kejayaan saya memperolehi emas semasa lelongan dulu menarik minat seorang rakan saya untuk sama-sama menyertai lelongan ini.

Gambar Hiasan: Ar Rahnu PKB Wakaf Bharu
Setelah mendaftar sebagai pembida, kami berdua dibekalkan dengan senarai emas pelbagai bentuk, ada berupa barang kemas dan terdapat juga kepingan-kepingan dinar emas KGT.

Semasa saya meneliti & berkira2 untuk menulis harga bidaan, seorang pemuda datang menghampiri dan menyapa kami. Beliau juga datang untuk tujuan yang sama, iaitu membida lelongan tersebut. Dia mencadangkan agar semua pembida berpakat, membida sedikit seorang dengan alasan supaya harga bidaan tidak terlampau tinggi dan semua yang membida balik dengan tidak tangan kosong.

Memikirkan pemuda tersebut ikhlas, ditambah lagi kami amat-amat baru dalam bidang ini, maka kami akur dan bersetuju lalu menunjukkan beberapa item yang kami hendak dan meletakkan harga yg telah dipersetujui bersama dia dan orang lain yang hadir untuk membida. Setelah menyerahkan borang bidaan kepada pihak pengurusan Ar rahnu kami keluar untuk minum sementara menunggu pihak Ar rahnu menghubungi kami.

Sehingga azan Asar tiada panggilan telefon dari pihak ar rahnu, maka kami sedar bahawa kami telah "dilipak" oleh pemuda tersebut & kawan-kawannya. Kami bergegas ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Asar & kemudiannya balik ke rumah masing-masing dengan tangan kosong. Kegagalan mendapatkan apa yang dihajati di Ar rahnu Wakaf Bharu tidah mematahkan semangat kami, malah bersedia untuk ke lelongan Ar rahnu yang lain. Di sini tiada rezeki saya, tapi mendapat pengajaran yg berguna.... JANGAN SESEKALI PERCAYA KEPADA ORANG YG SAMA-SAMA BERSAING