Thursday, June 30, 2016

FORMULA ATASI KEBOCORAN DUIT

Sesiapa sahaja malah saya sendiri sentiasa menghadapi masalah kebocoran duit. Kadang-kadang tak tahu ke mana dibelanjakan. Dapat gaji awal bulan pertengahan bulan sudah dalam berjaga-jaga, bimbang sebelum gaji baru dapat, dapur sudah tidak berasap.

Gambar hiasan

Tanpa menafikan komitmen wajib yang perlu dibayar setiap bulan, simpanan wajib bulanan pun kadang-kadang terguna. Jika disimpan di institusi kewangan lebih mudah dikeluarkan dengan kad ATM. Kadang-kadang tiada keperluan mendesak simpanan ini dikorek kerana pengeluarannya semudah ABC.

Gambar hiasan

Alternatif seterusnya adalah meletakkan simpanan dalam Tabung Haji. Bila kemudahan kad ATM diperkenalkan maka dengan sendirinya memudahkan pengeluaran dibuat bila-bila masa juga, lebih kurang sama fungsinya dengan bank, memudahkan pengeluaran wang segera . Akhirnya berlaku juga ketirisan duit simpanan.

Gambar hiasan

Untuk itu berubahkah kepada alternatif baru, menukar simpanan dari wang ringgit kepada emas. Kebocorannya agak minima, mungkin boleh ke tahap sifar. Walaupun emas boleh dicairkan dengan menggadaikannya di ar rahnu atau dijual terus. Tetapi biasanya majoriti penyimpan emas hanya akan berbuat demikian jika keadaan hanya amat-amat memerlukan berbuat demikian. Kebocoran dapat diatasi, simpanan pasti makin bertambah.

Mudahnya menggadai emas di ar rahnu

Jika ada keperluan mendesak nak pakai duit, bila digadaikan di mana-mana ar rahnu, pasti ada kesungguhan bagi menebusnya kembali. Berbanding wang ringgit yang dibelanjakan, ianya hilang dan hangus begitu sahaja. Tunggu gaji baru, jika ada lebihan menyimpan balik, tetapi kebocoran tetap tidak dapat diatasi dengan sebaiknya.

Gambar hiasan: Barang kemas

Hari ini mudahnya membeli emas fizikal. Jika dulu emas biasanya dalam bentuk barang kemas. Kini pelbagai syarikat yang menjual emas fizikal dalam bentuk syiling, dinar dan bar tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pilih yang mana berkenan.  Emas kini boleh dibeli dengan modal yang tidak membebankan. Satu gram sebulan pun sudah cukup baik.

Gambar hiasan: Contoh emas fizikal

Yang terbaik perlu merujuk pada yang tahu supaya tidak masuk perangkap skim cepat kaya yang menawarkan plan-plan bagi menjahanamkan anda. Objektif asal untuk menyimpan akhirnya tersontot dengan penuh penyesalan. Modal yang dikeluarkan tidak dapat kembali, emas dan keuntungan yang dijanjikan entah di mana. Formulanya mudah, pastikan bila beli emas pastikan anda mendapat emas tersebut.

Gambar hiasan

Tuesday, June 28, 2016

PASCA BREXIT; SEKADAR MEMERHATI DARI JAUH

Walaupun sudah 5 hari referendum atau pungutan suara di United Kingdom (UK) berlalu di mana ianya memihak kepada kumpulan "KELUAR" dari Kesatuan Eropah (EU) dengan kelebihan hanya 1.9%, Kesannya masih terasa lagi hingga ke hari ini dan mungkin juga untuk tempoh lebih panjang. Bukan sahaja pada UK dan EU tetapi kepada ekonomi dunia keseluruhan terkesan sama.


Perdana Menteri David Cameron
Setelah kekalan kumpulan yang mahukan UK kekal dalam EU, Perdana Menterinya David Cameron telah membuat pengisytiharan berundur dari jawatan yang dipegannya berkuatkuasa Oktober ini kerana beliau berada di pihak yang mahu "KEKAL" dalam EU. Antara ucapannya adalah “I do not think it would be right for me to be the captain that steers our country to its next destination”.
Gambar hiasan
Sehubungan dengan itu hasil pungutan suara ini juga, Bank of England telah bertindak menyediakan sejumlah GBP250 billion untuk memastikan kestabilan pasaran kewangan di UK ekoran dari kebimbangan dan ketidaktentuan ini. Pada masa yang sama, syarikat penarafan kredit Moody's telah memotong prospek negara UK daripada stabil kepada negatif. Ini diburukkan lagi dengan keputusan pungutan suara tersebut akan mengambil masa yang panjang untuk dikuatkuasakan, dijangka mengambil masa selama 2 tahun. Dalam tempoh ini UK masih perlu mematuhi undang-undang dan peraturan EU tetapi dalam masa tidak mempunyai hak mengundi atau bersuara sebagai ahli.


Gambar hiasan
Menurut Presiden EU, tempoh 2 tahun tersebut hanya akan memburukkan lagi ketidak tentuan ekonomi, yang berpotensi menjadikan ekonomi EU secara keseluruhannya semakin parah. Ditambah lagi dengan kebimbangan negara-negara ahli EU lain seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, Belanda, Itali dan lain-lain akan menurut jejak langkah UK untuk keluar sama dari EU. Mengikut rekod UK adalah negara ketiga penyumbang terbesar dalam EU


Spekulasi beberapa buah negara dalam EU akan turut sama keluar dari EU
Pada hari pengumunan pungutan suara tersebut (sehari selepas pungutan suara) telah menyaksikan suasana panik. Antaranya:-


Gambar hiasan

  • Pound Great Britain (GBP)  telah jatuh sebanyak 8.1% berbanding Dollar Amareka (USD)  
  • Pound Great Britain (GBP)  telah jatuh sebanyak sebanyak 11.4% berbanding Yen Jepun (JPY)
  • Harga emas melonjak naik secara mendadak sebanyak 4.0% dalam tempoh beberapa jam sahaja.
  • Selain itu, di seluruh pasaran saham sedunia seperti FTSE, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI), Dow Jones, Nikkei, Straits Times Index (STI), telah jatuh merudum
  • Di seluruh dunia, pelabur dianggarkan mengalami kerugian sebanyak USD2 trillion dalam sehari.
Gambar hiasan
Kejatuhan matawang Pound pasca Brexit ini adalah disebabkan pelabur mengambil jalan selamat dengan memindahkan aset pelaburan mereka dari UK ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun.


Graf emas melonjak naik
Kenaikan mendadah harga emas dunia pula adalah disebabkan pelabur-pelabur ini sebahagiannya memindahkan aset mereka dari dalam bentuk matawang kepada emas, menjadikan permintaan tinggi pada logam berharga ini. 

Monday, June 27, 2016

DINAR; BUKAN SEKADAR MAS KAHWIN

Saya tidak berapa pasti tahun berapa, tetapi gambar sifu M.Nasir berkahwin dengan Marlia Musa amat-amat mengujakan selepas saya mula membeli emas fizikal. Semasa majlis akad nikah, M.Nasir telah memilih untuk menyediakan mas kahwin berupa Dinar Emas. Seingat saya selepas perkahwinan mereka, ramai pasangan yang menjadikan dinar emas pilihan sebagai Mas Kahwin.

Gambar Perkahwinan yang terpampang di dada-dada akhar
Terasa ruginya bila saya kahwin pada tahun 2005 dahulu, tidak menjadikan dinar emas sebagai mas kahwin. Bila saya mula terlibat dengan dunia emas, antara misi saya adalah untuk menarik lebih ramai bakal-bakal pasangan yang akan berkahwin untuk membuat kelainan dengan menjadikan dinar emas sebagai mas kahwin.

Junior sekolah saya, Che Mohd Rozaihan yang melangsungkan perkahwinan baru-baru ini menjadikan dinar emas sebagai mas kahwin.

Antara kelebihan menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin jika dibandingkan dengan bentuk matawang adalah ianya susah untuk dicairkan untuk dibelanjakan walaupun senang digadai mahupun dijual kerana terasa sayang, tambah-tambah lagi ianya boleh dijadikan kenangan perkahwinan bersama gambar-gambar perkahwin dan  beberapa keping kad jemputan yang disimpan. Ianya menjadi "sentimental value". Bezanya nilai Dinar Emas tersebut akan bertambah dari setahun ke setahun. Jika dalam bentuk matawang, sayang macam manapun, akan dibelanjakan samada sedar atau tidak sedar. Senang sangat bocornya.

Gambar hiasan

Kepada yang berminat menjadikan Dinar Emas sebagai mas kahwin, mulakanlah langkah pertama anda untuk merealisasikan impinan anda bakal pasangan berjaya. Di Public Gold anda boleh menyimpan emas untuk tujuan tersebut tanpa membebankan kewangan anda. Di sini, anda boleh bermula dengan belian satu gram emas setiap kali pembelian (Harga emas Public Gold hari ini adalah RM185/gram). Kumpulkan gram emas ini untuk ditukarkan kepada dinar emas. Berat satu dinar emas adalah 4.25 gram, Anda boleh merancang pembelian ini dan pada hari akad perkahwinan mas kahwin yang anda sediakan adalah berupa Dinar Emas.

Produk 1/2 Dinar Emas

Produk 1 Dinar Emas

Produk 5 Dinar Emas

Produk 10 Dinar Emas

Saturday, June 25, 2016

EMAS; DI MANA POSISI ANDA

Setiap pembeli dan bakal pembeli emas perlu meletakkan target apa posisi yang terbaik untuk diri masing-masing. Saya meletakkan sekurang-kurangnya empat kelompok yang boleh dipilih, sesuai dengan kehendak masing-masing. Meletakkan target ini penting kerana ianya akan menentukan anda suksess dengan emas atau sebaliknya pada masa akan datang.

Gambar hiasan

Kelompok pertama adalah terdiri dari golongan penyimpan emas. Kumpulan ini menjadikan emas sebagai alternatif menggantikan matawang yang terdedah kepada inflasi. Ianya juga bagi mengelakkan kebocoran wang dan seterusnya dapat mengawal perbelanjaan tidak patut. Mereka menyimpan emas untuk tempoh jangka panjang, contohnya menabung emas untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak di Institusi Pengajian Tinggi dan sebagainya. Pun begitu emas yang disimpan ini kadang-kadang akan dicairkan, biasanya digadai di ar rahnu jika berlaku kecemasan, tanpa perlu membuat pinjaman. Bila kewangan kembali stabil, emas tersebut ditebus kembali.


Gambar hiasan

Kumpulan kedua terdiri dari pelabur emas. Kumpulan ini membeli emas dalam kuantiti tertentu bila harga emas turun dan menjual balik bila harga emas naik. Beli dan jual ini dilakukan berulang-ulang bagi menjana keuntungan. Mereka sentiasa memantau dan menganalisa pasaran emas dunia serta mahir dengan ilmu teknikal dan fundemantal berkaitan emas.

Gambar hiasan

Golongan ketiga pula boleh dikategorikan sebagai peniaga emas. Mereka menjadikan emas sebagai bisnes menjana pendapatan. Tidak menghiraukan naik turun harga emas kerana jual beli tidak terikat dengannya. Yang penting bagi mereka adalah jual dan jual dan jual....


Gambar hiasan

Manakala kelompok keempat adalah kumpulan pemerhati dari jauh. Mereka tidak rasa apa-apapun dan tidak mendapat apa-apa faedah emas untuk jangka pendek mahupun jangka panjang. Jika harga emas naik mereka kata mahal dan bila harga turun mereka mahukan harga turun lagi. Akhirnya mereka tidak berbuat apa-apa. Hanya mengacah-ngacah untuk membeli tapi, satu gram emas pun belum terbeli.

Gambar hiasan

Pilihlah posisi masing-masing samada  sebagai penyimpan emas, pelabur emas, peniaga emas mahupun pemerhati dari jauh.

Friday, June 24, 2016

BREXIT: KESAN SEGERA PADA HARGA EMAS

BREXIT adalah singkatan kepada "Britain Exit", iaitu satu usul supaya Britain/United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah (EU) yang disertai oleh Britain semenjak tahun 1973. EU ini ditubuhkan selepas tamatnya Perang Dunia ke 2 dengan keahlian 28 buah negara Eropah.


Hanya 2 pilihan bagi rakyat Britain samada kekal atau keluar dari EU

Semalam, 23 Jun 2016, rakyat Britain mengundi dalam pungutan suara bagi menentukan samada kekal atau keluar dari Kesatuan Eropah. BREXIT menimbulkan suasana ketidaktentuan dalam pasaran dunia yang boleh menyebabkan aktiviti ekonomi menjadi perlahan ekoran sentimen pelabur yang mengambil sikap tunggu dan lihat.


Harga emas hari ini melonjak dan dijangka terus melonjak

Ketidaktentuan ini juga terkesan pada harga emas dunia. Berlaku kejutan di mana harga emas dunia meroket dengan drastik pada hari ini. Penganalisa menjangkakan harga emas dunia akan melonjak kepada USD1400/oz (1 oz bersamaan dengan 31.10 gram). Bila keadaan ini berlaku akan menimbulkan 2 berita kepada penggemar logam berharga ini.


Bagi yang sudah menyimpan emas, pelabur emas dan peniaga emas, kenaikan ini memberi khabar gembira kepada mereka. Yang pasti bila emas milik 3 kumpulan ini dijual, keuntungan segera pasti diperolehi. Kenaikan harga ini mengundang berita sedih bagi mereka yang baru-baru berkira-kira untuk menyimpan emas atau mereka yang masih menunggu harga emas lebih murah terlebih dahulu sebelum membeli emas. Nasihat saya, harga mahal atau murah, jika hendak termasuk dalam 3 kumpulan di atas, mulakanlah segera.

Harga Emas Public Gold sebelum jam 12 tengahari hari ini


Harga Emas Public Gold selepas jam 12 tengahari hari ini
Bila berlaku kenaikan harga yang drastik, harga emas Public Gold juga naik seiring dengan kenaikan harga dunia. Jika sebelumnya perubahan harga adalah untuk tempoh 24 jam, hari ini menyaksikan kenaikan berubah hanya dalam tempoh 12 jam. Beruntung mereka yang membeli sebelum harga emas naik dan saya salah seorang yang tidak sempat menambah jumlah gram emas sebagai simpanan sendiri.

Thursday, June 23, 2016

MENYIMPAN EMAS; MULAKAN WALAU DENGAN 1 GRAM

Bila diajak beli emas, ramai yang menggeleng-geleng kepala... Tak mampu. Emas mahal. Bila diajak melabur dalam bentuk emas, lagilah digeleng-gelengkan kepala....Nak beli pun tak mampu, inikan pula melabur dalam bentuk emas. Saya dulu pun macam ni jugak. Bila orang cakap pasal emas, terus olok-olok buat kerja lain. Bila hati dah sangkut dengan emas ni, pantang ada saja duit lebih, terus tukar pada emas. Emas bertambah kebocoran simpanan pasti dapat diatasi.

Gambar hiasan

Bila sebut emas, terus disebut mahal. Tak mampu kerana mahal. Sebelum ini ada betulnya kerana emas didatangkan dalam bentuk barang kemas seperti rantai leher, gelang tangan, gelang kaki dan yang terkecil adalah dalam bentuk cincin, itu pun harganya lebih kurang RM500.00, saya pun tak pasti sekarang ni masih adakah sebentuk cincin emas dengan harga tersebut. Setahun sekali pun belum tentu dapat beli emas dalam bentuk barang kemas. Wang perlu dihimpun-himpun dulu, kadang-kadang terbocor di tengah jalan tanpa disedari.

Gambar hiasan

Barang kemas pertama yang saya beli adalah cincin pertunangan, pada akhir tahun 2005 dulu. Selepas itu saya tidak pernah membeli barang kemas. Tambah-tambah isteri tidak gemar memakai barang kemas. Saya hanya membeli barang kemas kemudiannya pada bulan September tahun lepas dilelongan Ar Rahnu. Itu pun tak sampai satu bulan dalam tangan, terus jual untuk dapat sedikit keuntungan.

Kini emas sudah boleh dibeli hanya dengan berat 1 gram sahaja. Harga hari ini tak sampai pun RM200.00 untuk satu gram. Untuk membeli emas tidak perlu usik duit untuk barang dapur, duit untuk bayar bil utiliti dan lain-lain yang menjadi perbelanjaan wajib. Gunakan duit yang patut disimpan untuk simpanan, cuma tukar sahaja dalam bentuk emas.

Gambar hiasan

Jadikan amalan menabung emas sama seperti amalan sebelum ni yang telah dibuat, iaitu menabung dalam bentuk matawang. Menyimpan dalam RM200 dalam bentuk matawang untuk setahun berjumlah RM2,400. Menyimpan 1 gram sebulan dalam bentuk emas untuk setahun bersamaan dengan 12 gram. Akan berlaku penambahan dalam bentuk simpanan samada dalam bentuk matawang mahupun emas jika dilakukan simpanan untuk setiap bulan. Yang bezanya emas tidak terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi negara dan dunia disamping terkalis dengan inflasi.

Gambar Hiasan

Itu baru untuk tempoh satu tahun, bagaimana untuk tempoh lebih lama, sepuluh tahun, 20 tahun? Yang pasti jumlah emas pasti bertambah dan nilainya nanti akan lebih tinggi dari hari ini.

Kadar Inflasi negara dari Jun 2015 hingga Mei 2016

Tuesday, June 21, 2016

PELABURAN EMAS; TIDAK ADA JALAN PINTAS

Membeli emas sebagai pelaburan perlu mengambil masa panjang, serta kesabaran. Melihat pada harga semasa mendapati logam berharga ini harganya semakin meningkat dari masa ke semasa. Walaupun harganya kadang-kadang turun tetapi kenaikan harga mengatasi harga yang turun. Ini disebabkan oleh Nilai matawang kita semakin menurun nilainya menjadikan emas semakin meningkat nilainya.

Graf perbandingan Nilai USD berbanding Nilai Emas

Bukan sahaja emas, bagi saya semua pelaburan dan perniagaan yang sah dan normal memerlukan masa. Bila ada yang berminat untuk menjadikan emas sebagai pelaburan pelaburan tetapi menghendaki keuntungan yang segera. Jawapan ikhlas saya setakat ini TIDAK BOLEH.

Tawaran pelaburan emas yang menjanjikan pulangan yang amat besar

Jika ada yang menawarkan pulangan yang lumayan dalam kadar yang segera pada saya itu skim cepat kaya. Skim-skim ini seingat saya sangat subur kalau tak silap saya pada tahun 2012 dan pada tahun 2015 skim-skim ini kebanyakan telah gulung tikar bersama-sama duit pelabur berpuluh-puluh juta ringgit, malah mungkin ratusan juta ringgit yang hangus. Hasrat pelabur untuk mendapat durian runtuh dari skim-skim ini hancur berkecai bila yang dijanjikan tidak diperolehi. Semua duit simpanan habis digunakan untuk melabur dalam skim-skim ini. Ada sesetengah mangsa membuat pinjaman peribadi di institusi-institusi kewangan kerana tertarik dengan pulangan lumayan yang bakal diperolehi nanti. Malah yang lebih menyedihkan lagi ada yang terkena lebih dari sekali, tak serik-serik.

Keratan Akhbar; pelabur emas berputih mata
Laburlah wang anda dalam skim-skim ini jika mahukan pulangan segera. Itu pun jika anda bernasib baik tidak tersontot. Hubungi saya jika anda ingin melabur dalam skim-skim ini, insyaallah saya boleh bagi senarai panjang syarikat-syarikat yang menawarkan pulangan segera. Sebahagiannya telah dipaparkan di laman web BNM. Ada yang diklasifikasikan Skim Cepat Kaya dan ada dalam antaranya masih dalam senarai watchlist. Boleh layari laman web Bank Negara Malaysia atau berhubung terus. Pendek kata tiada jalan pintas untuk jadi kaya segera kecuali dengan jalan tidak betul. Ataupun anda bertuah kerana menjadi Ahmad Albab ke 2. Pilihan di tangan anda.

Monday, June 20, 2016

BERHATI-HATI DENGAN PERANGKAP KAD KREDIT

Sebahagian besar individu yang mempunyai pendapatan empat angka memiliki kad kredit. Tak kiralah dia bekerja dalam apa-apa sektor sekalipun. Kerajaan, swasta, sendiri atau bisnesman. Malah, kadang-kadang yang berpendapatan di bawah empat angka pun memilikinya. Cara macam mana diperolehi kad kredit, saya pun tidak tahu.

Gambar hiasan
Pemilikan kad kredit sudah menjadi trend sekarang, sekiranya tidak mempunyai walau sekeping kad kredit dianggap kuno dan ketinggalan zaman, Ia telah menjadi life style masyarakat hari ini. Adalah menjadi kebanggaan jika memiliki kad kredit, sedangkan kad kredit ini sebenarnya kad hutang. Setiap kali digunakan kita hanya menambah hutang. Institusi kewangan mengambil peluang dari permintaan yang tinggi ini dengan berlumba-lumba menawarkan kepada masyarakat umum bagi memiliki kad kredit masing-masing.

Isteri saya pernah mempunyai 3 keping kad kredit dari pelbagai institusi kewangan dalam satu masa. Bukan beliau gunapun tapi kerana terikut-ikut dengan rakan sepejabat. Orang lain isi borang, dia pun sama. Ketiga-tiga kad ini hanya tersimpan kemas dalam wallet sahaja, tanpa digunakan. Bila sampai surat tuntutan bayaran yuran tahunan barulah dia berkalut dan sayapun turut terkesan sama. Akhirnya kami ke institusi kewangan terbabit untuk membatalkan semua kad kredit terbabit dengan sedikit kerugian terpaksa membayar yuran tahunan yang dikenakan, sedangkan kad kredit tersebut tidak digunakan.

Kad kredit hendaklah dipotong dan dipulangkan kepada institusi kewangan terbabit membuktikan pelanggan telah membatalkan langganan kad kredit tersebut

Hari ini, hanya saya yang ada kad kredit. Itupun hanya sekeping sahaja. Bukan saya yang terhegeh-hegeh untuk memilikinya. kad kredit. Ia diperolehi bila saya ditelah ditawarkan Master Card oleh Unit Trust Public Mutual kerana jumlah simpanan saya yang dilaburkan dalam unit trust tersebut barangkali telah meyakinkannya untuk membuat tawaran. Setelah menerima tawaran tersebut saya berfikir panjang samada menerima atau menolak dan akhirnya saya menerimanya. Sehingga hari ini, kad kredit ini hanya digunakan untuk bayaran mengisi minyak kereta yang saya dan isteri sahaja. Kadang-kadang bila bercuti atau ada urusan di luar Kelantan saya gunakan untuk bayaran Hotel sahaja. Saya akan mempastikan bayaran penuh dibuat setiap bulan tanpa gagal.

Keratan Akhbar: Padah menimpa sesiapa yang gagal menguruskan penggunaan kad kredit
Perkembangan semasa mendapati bahawa hutang kad kredit merupakan antara hutang terbesar rakyat Malaysia, malah ada yang telah disabitkan muflis hanya kerana sekeping kad kredit. Ini kerana kegagalan pemiliknya dalam menguruskan penggunaan kad kredit ini dengan baik. Maklumlah tidak perlu mengeluarkan wang untuk berbelanja, hanya perlu hulurkan kad setiap kali membuat pembelian tanpa berfikir bahawa perbelanjaan tersebut menambah beban hutang. Bila gagal membayar balik kerana hutang terkumpul telah melebihi pendapatan, ditambah lagi dengan life style biar papa asal bergaya, akhirnya jatuh dalam perangkap kad kredit ini.

Gambar hiasan
Sebelum anda diisytiharkan muflis kerana kegagalan melunaskan hutang kad kredit, bertindaklah sekarang. Ubahlah cara hidup anda. Saya cadangkan supaya anda menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka sedia membantu anda mencari jalan untuk menyelesaikannya. Sudah ramai yang berjaya menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Untuk maklumat lanjut boleh layari https://www.akpk.org.my

Jangan jadikan nama anda termasuk dalam senarai orang yang muflis
Memiliki kad kredit tidak salah, tetapi menggunakannya secara boros itu lah yang salah dan mengundang masalah dikemudian hari. Ditambah lagi bila gagal membayarnya dalam tempoh yang ditetapkan. Jadilah seorang pengguna yang bijak, elakkan dari berbelanja berlebihan, lebih-lebih lagi dengan menggunakan kad kredit kerana kesannya akan menyusahkan bukan sahaja hidup anda, malah isteri anda, anak-anak anda dan keluarga anda akan menerima kesannya kelak.

Sunday, June 19, 2016

IKTIBAR DARI PEPATAH JEPUN

#3 きん を える の は はり で あな ほり を する よう だ 。 きん を つかう の は みず が すな に しみこむよう だ 。
(kin o eru no wa hari de ana hori o suru you da. Kin o tsukau no wa mizu ga suna ni shimikomu youda)
Bahasa Inggeris: Getting Money is Like Digging with a Needle. Spending it Like Water Soaking into the Sand.
Bahasa Malaysia: Mendapatkan Wang Seperti Mengorek Tanah Menggunakan Jarum. Berbelanja Wang Ibarat Mencurah Air ke Tanah.

Gambar hiasan

Saya amat tertarik dengan pepatah Jepun ini, amat tepat. Susah untuk mendapat sumber kewangan, Bekerja siang dan malam. Memerah segalanya. Keringat, fikiran, masa dan sebagainya. Sedangkan untuk menghabiskan teramat-amat mudah. Tahu-tahu hujung bulan duit dalam poket sudah hampir kekeringan. Masa itu baru sedar bahawa perlunya berjimat dalam berbelanja. Bila wang gaji sudah masuk kembali akhir atau awal bulannya, tabiat yang sama berulang kembali. Sebab itu tidak pelik walaupun sudah bekerja hampir sepuluh tahun, ada sebahagian dari kita hanya ada simpanan tak sampaipun satu ribu ringgit. Sedangkan pakar-pakar kewangan mencadangkan supaya kita mempunyai simpanan tetap sekurang-kurangnya tiga kali dari jumlah pendapatan bulanan. Mempunya simpanan lebih dari jumlah tersebut, itu lebih baik. Ini kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan.

Gambar hiasan

Sesiapa yang mempunyai masalah ini, duit sentiasa cepat habis, kadang-kadang tidak diketahui di mana duit itu pergi, anda sebenarnya mempunyai masalah yang agak kritikal dan jika tidak diselesaikan segera, akan mewujudkan masalah-masalah baru akibat kegagalan menyelesaikan masalah tersebut. Anda patut bertemu orang yang betul bagi membantu anda keluar dari masalah ini. Bertindaklah segera.
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
Surah Ar-Ra'd, ayat 11

Saturday, June 18, 2016

BOLEH KAH HARGA EMAS TURUN

Ini adalah antara soalan popular yg beberapa kawan saya. Semasa saya mula membeli emas dari Public Gold tahun lepas, saya ada sebutkan kepada beberapa orang kenalan betapa menyimpan emas adalah satu pelaburan jangka panjang dan menguntungkan. Semua yang saya temui mengiyakan kata-kata saya, tetapi tidak memulakan menyimpan emas kerana mereka berpendapat harga mahal sedangkan pada masa tersebut harga emas fizikal Public Gold di bawah RM160 untuk setiap gram.


Harga emas pada bulan julai & Ogos 2015, Ketika inilah saya tergerak untuk menyimpan emas. Walaupun begitu hanya bulan September baru mula membeli.

Mereka lantas bertanya saya bolehkan harga emas turun lalu saya jawab TIDAK TAHU, DI LUAR KUASA SAYA. Lantas mereka kata mahu menunggu harga lebih murah utk memulakan simpanan emas.
Harga emas dunia tiba-tiba meroket pada 3 Jun 2016
Graf harga emas dunia hari ini (18 Jun 2016), naik kembali selepas turun sedikit
Tiba2 tahun ini harga naik dengan drastik, harga emas fizikal Public Gold telah naik sehingga paras tertinggi RM186 untuk setiap gram selaras dengan kenaikan harga emas dunia. Untuk rekod harga terendah emas Public Gold pada tahun ini adalah RM170 bagi setiap gram.

Beberapa hari lepas seorang kenalan yang menangguhkan untuk menyimpan emas tahun lepas bertanya saya berapa harga harga emas semasa, lantas saya memberitahunya harga semasa. Kelihatan dia agak terkejut dengan kenaikan tersebut. Bila dia mengulangi soalan sama tahun lepas jawapan saya adalah sama. SAYA TIDAK TAHU, DI LUAR KUASA SAYA. Akhirnya impian beliau hanya tinggal impian, harapan tinggal harapan. Satu gram pun belum dimulakan.

Nasihat sinis saya, demo tunggu lah sehingga harga turun rendah sebagaimana yang demo kehendaki, harga murah mudah-mudahan. Untuk rekod, harga emas pernah turun, dan adakah ia akan turun lagi, saya pun tidak tahu. Fokus saya adalah menambah simpanan. Yang pasti harga emas akan terus meningkat dari hari ke hari, manakala nilai wang kertas akan menurun dari hari ke hari.
Nilai matawang semakin menurun, tetapi nilai emas semakin meningkat


Bagi yg berkira-kira hendak membeli dan menyimpan emas, mulakanlah langkah pertama anda, jika anda juga mengambil sikap nak tunggu harga murah seperti yg tuan-tuan kehendaki, anda hanya membuang masa, kerana bila harga emas akan turun amat susah untuk diramal kerana emas ini antara kelebihannya adalah tidak boleh dimanipulasi seperti matawang.

AQUARIUM DAPAT, EMAS BERTAMBAH

Sejak beberapa tahun lepas lagi anak-anak saya berhasrat untuk memiliki sebuah aquarium untuk memelihara ikan. Bila kami sekeluarga pergi bertandang ke rumah sanak saudara atau kawan-kawan yang di rumah mereka ada aquarium, mereka makin bising-bising nak jugak memilikinya juga di rumah. Saya hanya minta anak-anak bersabar.  Sambil itu saya mula mengumpul wang sedikit demi sedikit bagi membelinya. Pernah saya pergi survey di kedai-kedai perabut second hand, tapi biasanya aquarium second hand ni dah ada yang booking awal-awal.


Akhirnya bila anak-anak asyik duk ulang-ulang bila nak beli aquarium, awal tahun ni saya membawa mereka ke kedai aquarium yang berhampiran dengan rumah. Semua anak-anak bersorak kegembiraan. Semasa sampai sayapun mula survey harga dengan pekerja kedai. Dari yang mahal berharga  beribu-ribu Ringgit Malaysia kepada yang biasa berharga ratusan Ringgit Malaysia. Akhirnya kami balik tangan kosong juga. Saya ambil sedikit masa untuk buat keputusan.

Dua hari kemudian saya buat keputusan untuk betul-betul membeli aquarium lalu sekali lagi bersama anak-anak bertandang ke kedai tersebut lalu membeli sebuah aquarium sebagaimana permintaan anak-anak. Bezanya aquarium yang saya beli ini bukan harga beribu-ribu mahupun beratus-ratus ringgit tetapi yang hanya berharga tak sampaipun 40 ringgit. Aquarium yang dibeli diperbuat dari plastik  dan dengan menambah semua aksesori bagi sebuah aquarium dan ikan guppy 5 pasang, sepasang untuk setiap orang anak, tak habispun 100 ringgit.

Aquarium milik keluarga saya

Hari ni ambil peluang gotong royong dengan anak-anak menukar air, dan membasuh aqurium nampak berkilau-kilau seperti baru beli. Rumah orang lain ada aquarium, rumah sayapun ada juga aquarium. Orang lain berhabisan beribu-ribu Ringgit Malaysia ,saya hanya habiskan tak sampaipun 100 Ringgit Malaysia untuk sebuah aquarium. Akhirnya duit lebihan yang saya kumpulkan pada asalnya untuk membeli sebuah aquarium telah saya tukarkan pada emas.

Koleksi Dinar Public Gold didatangkan dengan produk 1/2 dinar, 1 dinar, 5 dinar dan 10 dinar