Monday, June 20, 2016

BERHATI-HATI DENGAN PERANGKAP KAD KREDIT

Sebahagian besar individu yang mempunyai pendapatan empat angka memiliki kad kredit. Tak kiralah dia bekerja dalam apa-apa sektor sekalipun. Kerajaan, swasta, sendiri atau bisnesman. Malah, kadang-kadang yang berpendapatan di bawah empat angka pun memilikinya. Cara macam mana diperolehi kad kredit, saya pun tidak tahu.

Gambar hiasan
Pemilikan kad kredit sudah menjadi trend sekarang, sekiranya tidak mempunyai walau sekeping kad kredit dianggap kuno dan ketinggalan zaman, Ia telah menjadi life style masyarakat hari ini. Adalah menjadi kebanggaan jika memiliki kad kredit, sedangkan kad kredit ini sebenarnya kad hutang. Setiap kali digunakan kita hanya menambah hutang. Institusi kewangan mengambil peluang dari permintaan yang tinggi ini dengan berlumba-lumba menawarkan kepada masyarakat umum bagi memiliki kad kredit masing-masing.

Isteri saya pernah mempunyai 3 keping kad kredit dari pelbagai institusi kewangan dalam satu masa. Bukan beliau gunapun tapi kerana terikut-ikut dengan rakan sepejabat. Orang lain isi borang, dia pun sama. Ketiga-tiga kad ini hanya tersimpan kemas dalam wallet sahaja, tanpa digunakan. Bila sampai surat tuntutan bayaran yuran tahunan barulah dia berkalut dan sayapun turut terkesan sama. Akhirnya kami ke institusi kewangan terbabit untuk membatalkan semua kad kredit terbabit dengan sedikit kerugian terpaksa membayar yuran tahunan yang dikenakan, sedangkan kad kredit tersebut tidak digunakan.

Kad kredit hendaklah dipotong dan dipulangkan kepada institusi kewangan terbabit membuktikan pelanggan telah membatalkan langganan kad kredit tersebut

Hari ini, hanya saya yang ada kad kredit. Itupun hanya sekeping sahaja. Bukan saya yang terhegeh-hegeh untuk memilikinya. kad kredit. Ia diperolehi bila saya ditelah ditawarkan Master Card oleh Unit Trust Public Mutual kerana jumlah simpanan saya yang dilaburkan dalam unit trust tersebut barangkali telah meyakinkannya untuk membuat tawaran. Setelah menerima tawaran tersebut saya berfikir panjang samada menerima atau menolak dan akhirnya saya menerimanya. Sehingga hari ini, kad kredit ini hanya digunakan untuk bayaran mengisi minyak kereta yang saya dan isteri sahaja. Kadang-kadang bila bercuti atau ada urusan di luar Kelantan saya gunakan untuk bayaran Hotel sahaja. Saya akan mempastikan bayaran penuh dibuat setiap bulan tanpa gagal.

Keratan Akhbar: Padah menimpa sesiapa yang gagal menguruskan penggunaan kad kredit
Perkembangan semasa mendapati bahawa hutang kad kredit merupakan antara hutang terbesar rakyat Malaysia, malah ada yang telah disabitkan muflis hanya kerana sekeping kad kredit. Ini kerana kegagalan pemiliknya dalam menguruskan penggunaan kad kredit ini dengan baik. Maklumlah tidak perlu mengeluarkan wang untuk berbelanja, hanya perlu hulurkan kad setiap kali membuat pembelian tanpa berfikir bahawa perbelanjaan tersebut menambah beban hutang. Bila gagal membayar balik kerana hutang terkumpul telah melebihi pendapatan, ditambah lagi dengan life style biar papa asal bergaya, akhirnya jatuh dalam perangkap kad kredit ini.

Gambar hiasan
Sebelum anda diisytiharkan muflis kerana kegagalan melunaskan hutang kad kredit, bertindaklah sekarang. Ubahlah cara hidup anda. Saya cadangkan supaya anda menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka sedia membantu anda mencari jalan untuk menyelesaikannya. Sudah ramai yang berjaya menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Untuk maklumat lanjut boleh layari https://www.akpk.org.my

Jangan jadikan nama anda termasuk dalam senarai orang yang muflis
Memiliki kad kredit tidak salah, tetapi menggunakannya secara boros itu lah yang salah dan mengundang masalah dikemudian hari. Ditambah lagi bila gagal membayarnya dalam tempoh yang ditetapkan. Jadilah seorang pengguna yang bijak, elakkan dari berbelanja berlebihan, lebih-lebih lagi dengan menggunakan kad kredit kerana kesannya akan menyusahkan bukan sahaja hidup anda, malah isteri anda, anak-anak anda dan keluarga anda akan menerima kesannya kelak.

No comments:

Post a Comment