Thursday, June 9, 2016

MENYERTAI LELONGAN AR RAHNU

Minat saya terhadap emas selepas pembelian pertama tidak tamat di situ. Dengan sedikit ilmu dari pembacaan dan bertanya kawan-kawan yang pernah membeli emas lelong dari Ar-Rahnu saya memberanikan diri menyertaan lelongan Ar rahnu. Emas lelongan Ar rahnu pada kebiasaannya terdiri dari barang kemas 916, jarang-jarang terdapat emas fizikal bar dan dinar 999. Emas ini akan dilelong bila pemiliknya gagal menebus kembali setelah tamat tempoh gadaian. Tempoh pajakan adalah berbeza-beza antara Ar rahnu. Bila tuan gagal menebus kembali, maka pihak Ar rahnu akan menghantar notis kepada tuan emas bahawa barang gadaian miliknya akan dilelong. Ada pemilik yang bertindak saat akhir menebus kembali dan ada yang menebus melalui orang lain dengan menjual surat gadaian.
Contoh Barang Kemas Yang Dilelong

Awal bulan September tahun lepas, saya telah menyertai lelongan emas terpakai di Ar rahnu milik Permodalan Kelantan Berhad (PKB) cawangan Tanah Merah. Inilah kali pertama saya menyertainya. Saya diberi senarai barang-barang yang hendak dilelong beserta senarai harga asas setiap satunya. Pembida perlu meletakkan harga masing-masing, semestinya lebih dari harga yang diletak oleh Ar rahnu. Pembida paling tinggi adalah pemenang dan akan dihubungi oleh pihak Ar rahnu hari itu juga. Pembida yang berjaya perlu menuntut barang dan membayarnya dalam waktu segera, jika gagal pembida tersebut akan disenarai hitamkan.


Barang Kemas Terpakai yang berjaya dibida
Untuk lelongan pertama ini nasib menyebelahi saya. Sebahagian yang saya bida berjaya diperolehi, saya membawa balik hampir 60 gram barang kemas terpakai yang terdiri dari rantai leher dan rantai tangan. Itulah percubaan pertama saya dan ianya berhasil.

Barang kemas terpakai ini akhirnya saya jualkan bila harga emas naik tak sampaipun 1 bulan saya membelinya. Hasil keuntungan dari penjualan ini telah saya gunakan untuk mengisi petrol 2 buah kereta yang saya dan isteri guna serta sebuah motosikal untuk tempoh 1 bulan. Modal pembelian saya simpan untuk menyertai lelongan seterusnya.

No comments:

Post a Comment