Sunday, June 12, 2016

KEPERLUAN SEKOLAH ANAK

Akhir tahun lepas saya dan isteri membawa anak-anak ke gedung membeli-belah TenTen di Wakaf Che Yeh untuk membeli pakaian dan peralatan wajib persekolahan. Untuk dua anak yang bersekolah di sekolah rendah, barang-barang keperluan yang kami beli kepada mereka adalah sepasang pakaian sekolah untuk setiap seorang sahaja. Bagi dua orang anak yang masih di pra sekolah kami hanya membeli beg untuk setiap seorang. Sambil membisikkan kepada dua anak yang bersekolah di sekolah rendah, walid tak beli beg utk kamu berdua tahun ni, guna saja beg yg tahun lepas, kondisi masih baik, nanti rosak walid beli yang baru. Alhamdulillah, kedua-duanya memahami dan boleh menerima.


Saya bukan tidak mampu membeli beg untuk kedua-duanya bagi sesi persekolah baru, lebih dari mampu, tetapi ingin mendidik anak agar jangan boros dan berbelanja mengikut trend. Saya tidak mahu terikut-ikut dengan sebilangan ibu bapa yang berhabisan untuk membeli serba baru bagi persiapan anak. Sebab itu jugalah saya hanya membeli sepasang pakaian sekolah kerana pakaian sekolah mereka yang dibeli dan diguna pada tahun lepas masih di kira elok dan boleh digilir-gilirkan. Itulah prinsip saya dan isteri.

Saya masih teringat semasa di alam sekolah dahulu, saya dari keluarga yang tidak berada, ayah dan emak saya jarang-jarang membeli pakaian dan peralatan sekolah setiap kali sesi persekolah akan bermula.  Saya biasanya hanya menggunakan pakaian-pakaian & peralatan yang diwarisi dari abang dan kakak-kakak, kadang-kadang mendapat pakaian 2nd hand dari jiran-jiran.

Pernah saya memakai kasut yang bersaiz besar dari saiz kaki saya dengan memasukkan kertas surat khabar supaya tidak tercabut. Sehingga ada kawan-kawan sekolah mengejek saya dengan mengatakan saya memakai perahu. Suatu ketika seorang guru memanggil saya dan menegur baju sekolah yang saya pakai dengan katanya, kamu ni pakai baju putih atau kuning, merujuk kepada baju yang saya pakai sudah pudar warna putihnya.Bagi saya pengalaman hidup adalah satu pelajaran yang amat besar untuk dipraktikan dalam kehidupan seharian.

Keesokan harinya, saya meluangkan sedikit masa membasuh dua beg anak-anak yang telah digunakan pada sesi persekolahan lepas utk digunakan sesi persekolahan ini. Pada penglihatan saya seperti yg baru dibeli.Saya rasa tindakan tidak membeli beg baru adalah keputusan yg tepat, beg-beg tersebut masih elok untuk digunakan. Jika saya membeli yg baru bermakna saya membazirkan duit sahaja.


Kita sebagai pengguna perlu membezakan antara keperluan dan kehendak walaupun dari segi kewangan kita mampu. Berjimat lah walaupun kita mampu. Inilah antara ilmu yang saya ajarkan kepada anak-anak walau secara tidak formal.

No comments:

Post a Comment