Friday, June 3, 2016

Tentang Saya

Bermula episod hidupku di dunia ini tatkala dilahirkan oleh ibuku pada tanggal 5 April 1973. Dari sehari ke sehari ku belajar mengenai erti sebuah kehidupan ini. Bermula dengan tidak tahu apa-apa sehinggalah sudah punyai sebuah keluarga. Dilahirkan dari sebuah keluarga yang miskin, di mana bapaku hanyalah seorang petani yang membanting tulang empat keratnya mencari rezeki untuk keluarga, walaupun mempunyai kelayakan akademik yang baik. Bapaku belajar di sekolah melayu, kemudiannya ke pondok dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Mekah dan setelah balik ke Malaysia telah ditawarkan sebagai seorang guru pada ketika itu dengan syarat mengisi borang keahlian sebuah parti politik assobiyyah, tetapi dia enggan kerana integriti yang begitu tinggi pada pandanganku. Sanggup bekerja sebagai petani bagi menyara keluarga yang agak besar, aku dilahirkan dengan 12 orang adik beradik.

Dari hanya terlentang, tahu menghisap susu ibuku, sehinggalah melangkahkan kaki ke pra sekolah, TABIKA Perpaduan, kemudiannya bersekolah rendah di Sek Keb Machang, hinggalah bersekolah menengah di Sek Men Keb Machang walau hanya seketika. Takdirku selepas 2 minggu berpindah ke Sek Men Keb (Agama) Wataniah, Machang yang pada ketika itu baru sahaja diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Banyak pengalaman yang suka duka, hilai tawa, tangis sendu yang mewarnai alam persekolahan ku di sana. Aku bukan lah seorang pelajar yang baik, pernah turun kelas terakhir ekoran kemalasan kenakalan serta kealpaan diriku ini.

Tanggal 12 Mac 2004 bertempat di Masjid Putih, Kg Kutan Hilir aku menjawab lafaz Qabul sebagai meterai sebuah ikatan perkahwinan, akhirnya aku bergelar suami. Ramai rakan-rakan menganggap perkahwinan ku ini agak terlewat kerana ketika itu usiaku sudah meningkat ke umur 32 tahun, tetapi aku redha dengan ketentuannya. Semestinya ada hikmah disebalik segala-galanya.

No comments:

Post a Comment